Presiden OCM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO File NSTP.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengingatkan persatuan sukan kebangsaan (NSA) agar melaksanakan pemilihan atlet secara telus untuk Sukan SEA 2019 bagi mengelakkan kredibiliti mereka dipersoalkan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan pemilihan peringkat NSA penting dengan membabitkan semua atlet yang mereka rasakan layak.

"Kita mahukan pemilihan di peringkat NSA... perlu komprehensif. Kita tidak mahu orang mempertikaikan integriti pemilihan pada peringkat mereka.

"Untuk itu, kita mahu NSA memperincikan bagaimana mereka melakukan proses pemilihan berkenaan. Mereka sudah diberikan 12 bulan bagi menilai pencapaian atlet, iaitu hingga akhir bulan depan," katanya selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan masih belum mendapat sebarang aduan berhubung perkara berkenaan termasuk dari sejumlah atlet luncur ais yang meraih emas Sukan SEA 2017 mendakwa disingkirkan tanpa alasan yang munasabah.

"Apa saja perkara berbangkit atau aduan yang diterima akan dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Atlet bagi kami melihatnya," tambahnya.

NSA kini sedang giat menjalankan proses memilih dan menilai atlet bagi mewakili negara di Filipina penghujung tahun nanti dengan Malaysia menyertai 51 jenis sukan dan menyenaraikan 824 atlet pada peringkat awal.

Mereka dijangka membentangkan senarai akhir nama atlet kepada Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Filipina yang bakal dinilai lima panel diketuai Norza selain Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.

Manakala dua ahli bebas adalah bekas Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad yang diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Dr M Jegathesan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:08 PM