MAHREZ menjadi pemain kedua termahal kelab Manchester City tahun lalu pada harga 60 juta pound (RM324.3 juta). FOTO EPA
Reuters

PEMAIN sayap Riyad Mahrez berkata dia tidak akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris Manchester City untuk mencari lebih ruang beraksi selepas membantu skuad Pep Guardiola menjuarai liga buat musim kedua berturut-turut hujung minggu ini.

Mahrez, yang menjadi pemain kedua termahal kelab itu tahun lalu pada harga 60 juta pound (RM324.3 juta) hanya beraksi sebagai kesebelasan utama sebanyak 14 kali apabila Guardiola lebih memilih Raheem Sterling dan Leroy Sane di bahagian sayap.

Pemain Algeria itu meledak tujuh gol liga dan empat bantuan gol musim ini, termasuk satu gol ketika menewaskan Brighton 4-1 yang mengesahkan gelaran itu dan berkata dia tidak akan berhenti bersaing untuk merebut kesebelasan utama.

“Saya gembira di sini,” kata Mahrez.

“Saya tidak akan pergi ke mana-mana kerana saya tidak bermain.

“Ia sebahagian daripada permainan. Saya perlu kuat, terus kuat. Ia sebahagian daripada personaliti saya. Saya tidak pernah menyembunyikan apa-apa.”

Mahrez, yang memenangi anugerah pemain tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional apabila membawa Leicester City menjulang gelaran 2015-16 berkata pasti sukar untuk meletakkan dirinya dalam skuad Guardiola.

City menjulang gelaran musim lalu dengan rekod 100 peratus, menang 32 perlawanan dan menjaringkan 106 gol.

“Bukan mudah untuk menyertai pasukan yang stabil dan mempunyai pemain yang sedia beraksi,” kata Mahrez.

“Skuad itu melakukan segala-galanya musim lalu.

“Saya sedar bukan mudah untuk tahun pertama saya tetapi saya yakin diri dan tidak meragui kualiti saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 11:58 AM