Jurulatih Terjun negara, Christian Brooker. FOTO NSTP.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


Jurulatih terjun negara, Christian Brooker jelas sekali kecewa dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya di Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia hujung minggu lalu.

Menurutnya, beliau kecewa dengan persembahan keseluruhan yang dipamerkan penerjun negara dan ia sedikit bernasib baik kerana kebanyakan peserta juga gagal memberikan persembahan cemerlang.

"Ia jadual yang sangat memenatkan untuk mengadakan lima kejohanan Siri Dunia dalam tempoh dua bulan setengah.

"Jadi ia meninggalkan tempoh yang singkat buat atlet untuk berlatih dan memperbaiki segala kelemahan mereka," katanya.

Pengendali kelahiran Australia itu mengakui bahawa penerjun negara mempunyai kualiti namun kurang dari segi pengalaman.


Nur Dhabitah Sabri menduduki tempat ke-10.

"Apa yang perlu dipertingkatkan ialah kemampuan untuk mengekalkan kualiti terutama ketika dalam keletihan, kurang motivasi dan tertekan.

"Terjun adalah sukan yang mementingkan kekuatan mental tinggi dan penerjun sendiri yang perlu untuk mengawal tekanan. Siapa yang mempunyai tahap kepercayaan kepada diri sendiri akan muncul juara pada hari berkenaan.” katanya.

Gandingan penerjun muda negara, Jellson Jabilin-Hani Nazirul Jaya Surya menduduki tempat terakhir acara 10 meter platform seirama lelaki, gandingan Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri juga berada di kedudukan sama dalam acara tiga meter papan anjal seirama wanita.

Penerjun berpengalaman Leong Mun Yee bergandingan bersama Hanis Nazirul menduduki tempat kelima daripada enam pasangan yang mengambil bahagian.

Sementara itu, Syafiq Puteh yang bergandingan bersama Dhabitah dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran berakhir di tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:27 PM