RONALDO (dua kiri) memeluk Florenzi selepas mengejek kapten Roma itu. — FOTO Reuters
AFP

KAPTEN AS Roma, Alessandro Florenzi membalas ejekan bintang Juventus Cristiano Ronaldo mengenai ketinggiannya dengan menjaringkan gol pembukaan ketika menang 2-0 ke atas juara Serie A itu, awal pagi tadi.

Dua pemain itu terbabit dalam pertelingkahan pada minit ke-60 di Stadium Olimpico selepas bintang Portugal itu meneruskan permainan ketika Edin Dzeko terbaring dan memerlukan rawatan.

Ronaldo membuat isyarat tangan dan berkata: “Anda terlalu kecil untuk bercakap.”

Bekas pemain Real Madrid itu bagaimanapun kelihatan memohon maaf dan memeluk Florenzi.


DZEKO (kanan) menyumbat gol kedua Roma di Stadio Olimpico. — FOTO Reuters

Dzeko kemudian mengumpan kepada Florenzi untuk gol pertama Roma pada minit ke-79 dan pemain Bosnia itu turut menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk mencipta kekalahan ketiga Juventus musim ini.

Kemenangan itu menghidupkan peluang Roma untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan skuad kendalian Claudio Ranieri kini menghuni tangga keenam, satu mata di belakang Inter Milan di tangga keempat.

Kekalahan Juventus pula hadir sehari selepas mereka memperkenalkan jersi baharu yang tidak lagi menampilkan belang hitam putih, tradisi kelab itu lebih seabad.

Harapan Ronaldo untuk muncul penjaring terbanyak Serie A juga semakin tipis apabila dia kini ketinggalan lima gol di belakang Fabio Quagliarella dari Sampdoria yang meledak 26 gol dengan hanya berbaki dua perlawanan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:03 PM