VIDAL (kanan) meledak gol pembukaan Barcelona di Nou Camp. — FOTO Reuters
AFP

PEMULIHAN Barcelona selepas kekecewaan Liga Juara-Juara bermula dan harapan Getafe untuk layak ke pertandingan itu mungkin berakhir selepas mereka tewas 0-2 di Nou Camp, awal pagi tadi.

Penyudah Arturo Vidal dan gol sendiri Djene Dakonam menyaksikan Barca bangkit daripada kekalahan di tangan Liverpool, sekalipun jika peminat mereka belum lupa berdasarkan kepada kerusi kosong dan sorakan mengejek sebelum sepak mula.

“Ia perlawanan sukar buat kami,” kata Sergio Busquets. “Kami cuba menyembuhkan luka yang bukannya kecil.”

Getafe mungkin berharap lawan mereka terjejas dengan kegagalan Eropah namun sebaliknya mereka terkeluar daripada empat teratas, dengan baki satu perlawanan, selepas Valencia menang 3-1 ke atas Alaves.


KAPTEN Barcelona, Lionel Messi (kanan) melepasi kawalan pertahanan Getafe, Leonardo Cabrera. — FOTO AFP

“Kami kalah tapi saya bangga,” kata jurulatih Getafe, Jose Bordalas. “Kami perlu menang perlawanan terakhir dan tunggu serta lihat.”

Valencia kini di tangga keempat, terikat mata dengan Getafe, namun berada di depan berdasarkan rekod pertemuan yang lebih bagus. Mereka menamatkan musim di kelab bermasalah Real Valladolid manakala Getafe melayan kunjungan Villarreal.

Kemenangan Barcelona bermakna mereka mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kepada 11 mata di depan Atletico Madrid, yang dipaksa seri oleh Sevilla dan 18 mata di depan Real, yang tewas 1-3 di tangan Real Sociedad selepas Jesus Vallejo dibuang padang.

Jika mereka menewaskan Valencia pada final Piala Raja Sepanyol 25 Mei ini, Barca akan merangkul kejuaraan berganda domestik buat tahun kedua berturut-turut sekalipun ia mungkin tidak dapat menebus duka kekalahan di Anfield.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:38 PM