SOLSKJAER (kanan) berjabat tangan dengan Anthony Martial selepas perlawanan. — FOTO Reuters
AFP

OLE Gunnar Solskjaer menegaskan Manchester United akan “mengambil sedikit masa” untuk merapatkan jurang dengan Manchester City dan Liverpool selepas mereka menamatkan musim dengan kekalahan pedih 0-2 di laman sendiri kepada Cardiff yang sudah tersingkir.

United menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris, 32 mata di belakang juara City, yang mengumpul 98 mata dan mengatasi Liverpool dengan hanya satu mata.

United berakhir lima mata di belakang pasukan tangga keempat Tottenham Hotspur, bermakna mereka terlepas aksi kelayakan Liga Juara-Juara yang lumayan, sekali gus sukar menarik minat pemain ternama ke kelab itu.

“Hari ini bukan masalahnya,” kata pengurus United, Solskjaer, yang pernah mengendali Cardiff seketika, selepas penyokong lawan di Old Trafford melaungkan beliau akan “dipecat pada keesokan hari.”


PEMAIN United, Jesse Lingard (kiri) dan penyerang Marcus Rashford sugul sebaik melepaskan gol kedua di Old Trafford. — FOTO AFP

Pengendali dari Norway itu, awalnya berjaya mengubah nasib pasukan selepas mengambil alih daripada Jose Mourinho Disember lalu berkata: “Ia mengambil sedikit masa untuk merapatkan jurang dengan pasukan teratas. Kami berakhir lima atau enam mata di belakang pasukan ketiga, keempat dan kelima dan ia perlu kami perbaiki.

“Dua pasukan teratas menetapkan satu standard tinggi berbanding sebelum ini dan kami perlu bersedia berdepan cabaran seterusnya.”

Bekas penyerang United itu menambah: “Kerja akan bermula sekarang. Setiap orang cuti pada musim panas tapi kami perlu kembali dengan mentaliti dan sikap berbeza berada dalam pasukan Man United.

“Mereka yang bermain, bertindak baik tapi ia tidak begitu mencukupi.”

United memenangi kejuaraan Liga Perdana kali terakhir pada 2013, musim terakhir kendalian Alex Ferguson di Old Trafford.

Sejak itu mereka berakhir di tangga ketujuh, empat, lima, enam, dua dan kini enam kembali.

Mereka menang 14 daripada 17 perlawanan pertama selepas Solskjaer menggantikan Mourinho, termasuk kemenangan mengagumkan 3-1 di Paris Saint-Germain untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara namun kalah lapan daripada 12 perlawanan bagi semua pertandingan sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:06 AM