BERGEGARKAH Anfield sekali lagi malam ini? Sama-sama kita tunggu dan lihat. — FOTO Reuters
Agensi

LIVERPOOL bercita-cita besar untuk muncul pasukan pertama mengatasi pendahulu Liga Perdana Inggeris pada hari terakhir liga ketika mereka mengidam untuk merampas kejuaraan daripada Manchester City.

Reds, yang menerima kunjungan Wolves, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu City, yang berkunjung ke Brighton - dengan kedua-dua perlawanan malam ini bermula jam 10 malam.

Ia perebutan kejuaraan Liga Perdana kelapan dalam sejarah yang berlanjutan hingga ke hari terakhir.

Finalis Liga Juara-Juara, Liverpool tidak memenangi liga sejak 1990.


KEJAYAAN City menewaskan Liverpool di Anfield Januari lalu membuka peluang mereka mengejar. — FOTO Reuters

Ia satu perebutan kejuaraan dengan kualiti terbaik, dengan City menang 13 perlawanan terakhir mereka dan Liverpool menang lapan berturut-turut. Kedua-dua pasukan tidak kalah aksi liga sejak Januari lalu.

Ketika City mengumpul 95 mata dan Liverpool 94, mana-mana pasukan yang berakhir di tangga kedua dijamin meraih mata terbanyak bagi naib juara dalam sejarah liga utama Inggeris.

Secara realistik, Liverpool perlu menundukkan pasukan tangga ketujuh Wolves dan berharap Manchester City tercicir mata menentang pasukan tangga ke-17, Brighton.

Reds hadir pada perlawanan itu dengan keyakinan tinggi selepas layak ke final Liga Juara-Juara menerusi kemenangan menakjubkan 4-0 ke atas Barcelona, Selasa lalu selepas tewas aksi pertama 0-3. Mereka berdepan Tottenham pada final di Madrid, 1 Jun ini.


KLOPP mengharungi musim paling gemilang bersama Liverpool. — FOTO Reuters

City mengintai peluang muncul pasukan pertama memenangi tiga kejuaraan domestik Inggeris. Pasukan Pep Guardiola menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti pada final Piala Liga dan berdepan Watford pada final Piala FA, Sabtu ini.

“Kami memikirkan mengenai Wolves,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp, yang tidak memenangi trofi utama sejak 2012 bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund.

“Saya menerima berjuta-juta mesej dan tiada siapa bercakap mengenai hujung minggu ini. Ia semuanya ‘menakjubkan’ dan ‘semoga berjaya pada final’ tapi kami bermain menentang Wolves.

“Bukanlah pencapaian malam Selasa lalu tidak besar. Ia pasti satu daripada detik terbaik dalam sejarah bola sepak, bukan hanya Liverpool. Tapi ia tiada kena mengena dengan hujung minggu ini kecuali kami patut yakin.”


KEMARAAN Liverpool ke final Liga Juara-Juara di Madrid meningkatkan semangat pemain cuba memenangi Liga Perdana. — FOTO Reuters

Pendahulu liga bertukar tangan dengan rekod 32 kali - termasuk beberapa hujung minggu yang mana Liverpool bermain lebih awal. Reds perlukan angka 33 untuk memenangi liga.

Liverpool mendahului tujuh mata di depan Manchester City hinggalah pasukan juara itu mengalahkan mereka 2-1 pada 3 Januari lalu yang kekal kekalahan tunggal Reds musim ini.

“Satu impian untuk berada di sini. Saya tidak menjangkakannya... untuk berada di posisi kami sekarang,” kata Guardiola, yang boleh muncul pengurus ketiga selepas Alex Ferguson dan Jose Mourinho memenangi kejuaraan Liga Perdana berturut-turut.

“Kami akan bermain dengan baik, kuat secara mental, menyedari ia sukar. Lebih baik fokus terhadap apa yang kami lakukan. Jika kami menang, kami tidak perlu melihat perkara lain.”


GUARDIOLA mampu ulangi pencapaian Ferguson dan Mourinho. — FOTO AFP

Masih ada peluang secara matematik City dan Liverpool berakhir terikat secara mata, perbezaan gol dan gol dijaringkan, yang bermakna satu perlawanan playoff di gelanggang berkecuali untuk memutuskan siapa juara.

Namun, satu-satunya cara ia berlaku jika City kalah 0-4 kepada Brighton dan Liverpool seri 4-4 dengan Wolves) - atau kekalahan 1-5 dan seri 5-5, kekalahan 2-6 dan seri 6-6, begitulah seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 2:18 PM