VALVERDE (empat kiri) mengendalikan latihan Barca menjelang aksi menentang Getafe. — FOTO EPA
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde berazam untuk meneruskan tugasnya dan menyatakan beliau mendapat sokongan kelab dan presiden Josep Maria Bartomeu selepas kekalahan memalukan 0-4 di tangan Liverpool, Selasa lalu yang menyaksikan mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

Kekalahan pada separuh akhir di tangan Liverpool selepas menang aksi pertama 3-0 adalah drama kedua berturut-turut Barca pada pertandingan elit Eropah itu di bawah kendalian Valverde selepas disingkirkan AS Roma sekalipun menang aksi suku akhir pertama 4-1 tahun lalu.

Kegagalan dalam pertandingan kelab elit Eropah itu, yang mana Barca tidak menang sejak 2015, mengancam untuk membayangi pencapaian mengagumkan jurulatih itu mengemudi kejuaraan berturut-turut La Liga.

“Saya berasa kuat, saya OK dan saya tidak sabar untuk langkah seterusnya, saya tidak akan bersembunyi di belakang dinding,” kata Valverde pada sidang akhbar menjelang aksi liga di laman sendiri menentang Getafe, malam ini.


KAPTEN Barcelona, Lionel Messi menjulang trofi La Liga dua minggu lalu. — FOTO Reuters

“Saya sudah bercakap dengan presiden dan saya sering berasa mendapat sokongannya dan beliau jelas menyokong saya. Apabila perkara sebegini berlaku ia kelihatan seperti setiap benda jatuh tapi kami sedar hakikat sebenarnya.”

Barca akan berdepan penyokong sendiri buat kali pertama sejak kejatuhan di Anfield bagi perlawanan malam ini menentang pencabar kelompok empat teratas Getafe dan Valverde menggesa mereka bersatu menyokong pasukan.

“Penyokong boleh bertindak seperti yang mereka mahukan, tapi apabila anda berdepan bencana sebegini, ia satu peluang buat setiap orang,” ujar Valverde.

Barca memastikan kejuaraan kelapan dalam 11 tahun terakhir dua minggu lalu dan dalam dua minggu lagi mereka berdepan Valencia pada final Piala Raja Sepanyol, membida untuk mencatat kejuaraan berganda domestik kali kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:14 AM