NEYMAR (tiga kanan) menanduk masuk gol pertama PSG. — FOTO Reuters
AFP

NEYMAR turun kali terakhir sebelum digantung tiga perlawanan dengan menjaringkan gol ketika kelab itu menamatkan tiga kekalahan berturut-turut untuk menang 2-1 di Angers dalam Ligue 1, awal pagi tadi.

Persembahan PSG kendalian Thomas Tuchel merudum sejak kekalahan mengejut Liga Juara-Juara di tangan Manchester United Mac lalu, kalah final Piala Perancis dan hanya menang sekali dalam tujuh aksi.

Kembalinya Neymar daripada kecederaan kaki satu kelebihan dengan pemain termahal dunia itu menemui sentuhan menjelang kempen Copa America bersama Brazil bulan depan.

Penggantungan pemain berusia 27 tahun itu kerana menumbuk penyokong selepas PSG kalah menerusi penentuan penalti di tangan Rennes pada final Piala Perancis berkuat kuasa esok dan dia turut terlepas tiga aksi Liga Juara-Juara awal musim depan kerana mengkritik pengadil selepas kalah kepada United.


NEYMAR (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan PSG. — FOTO AFP

Namun dia menjaringkan gol ketiga dalam empat penampilan terakhirnya musim ini untuk memberikan PSG gol pendahuluan pada minit ke-20 di Stade Raymond-Kopa, melayangkan badan untuk menanduk masuk hantaran lambung Dani Alves.

Dia kemudian menjadi pengumpan kepada Angel Di Maria yang menanduk masuk sebelum sejam untuk menggandakan kelebihan pelawat.

Namun PSG dibolosi 18 gol dalam lapan perlawanan apabila Flavien Tait meraih gol sagu hati buat pasukan pertengahan liga Angers, menampan masuk bola muntah selepas Gianluigi Buffon menyelamatkan sepakan penaltinya.

Kelab gergasi Perancis itu kini berharap kemenangan itu tidak menjadi perlawanan terakhir Neymar bersama PSG, menjelang jendela perpindahan awal bulan depan.

“Neymar beraksi baik, tapi ini perkara yang kami jangkakan daripadanya – dia penting buat kami, menjaringkan gol dan membantu mencipta gol,” kata ketua jurulatih Tuchel. “Itu tugasnya, kerana itulah bakatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 9:50 AM