GAYA Rozliana ketika melakukan persembahan bersama kumpulan muzik. FOTO arkib NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


MELIHAT aksi Rozliana Mohd Ridwan di atas padang, perkara pertama terlintas ke atas atlet ragbi 7 sebelah negara itu pastinya wanita yang kasar dan ganas.

Namun siapa sangka pemain ragbi negara berusia 29 tahun itu mempunyai suara merdu setaraf penyanyi profesional.

Rozliana yang juga kapten skuad negara berkata, dia sendiri tidak pernah terlintas dapat menyanyi dengan baik apatah lagi inginkan perhatian menerusi bakat terpendamnya itu.

“Sebenarnya saya sendiri tak tahu boleh menyanyi dengan baik. Cuma kadang-kadang saya penuhi permintaan rakan-rakan yang mahu saya menyanyi.

“Contohnya kalau ada kumpulan busking, mereka suruh saya nyanyikan lagu dan semakin lama permintaan itu semakin kerap,” katanya memulakan cerita.


AKSI Rozliana (kiri) ketika perlawanan berlangsung. FOTO arkib NSTP

Jelas atlet yang senang disapa Rozy itu, dia tidak pernah mempelajari atau pergi ke kelas vokal untuk memantapkan teknik nyanyian.

“Saya tidak pernah terfikir untuk serius dalam bidang nyanyian walaupun selepas bersara kelak. “Kerana bagi saya, bakat ini sekadar untuk suka-suka saja,” katanya.

Meskipun mempunyai suara lunak, atlet berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui tidak pandai untuk bermain peralatan muzik seperti gitar.

“Seperti saya katakan sebelum ini, menyanyi hanyalah sekadar hobi dan sebab itu saya tak terlalu serius untuk mempelajari perkara lain. Saya lebih gemar menyanyikan lagu genre R&B kerana ia lebih santai. Antara lagu saya minati dan sering nyanyikan adalah Cinta Terbaik dari Cassandra,” katanya.

Jelasnya lagi, fokus utamanya ketika ini tetap bersama pasukan kebangsaan terutamanya dalam menghadapi temasya Sukan SEA Manila hujung tahun ini.

Malah dia juga mahu memberi tumpuan kepada pengajian di tahun akhir Master Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:15 AM