GOL Leroy Sane (kanan) mencetus kekalahan tunggal Liverpool musim ini. — FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mahukan pasukannya menggunakan “keistimewaan” berada di tangga teratas untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila mereka berkunjung ke Brighton, malam esok.

City tampil pada hari terakhir musim satu mata di depan Liverpool selepas satu perebutan kejuaraan paling sengit dalam sejarah Liga Perdana.

Penantian lama Liverpool untuk memenangi kejuaraan mungkin berlanjutan kepada tahun ke-30 di sebalik mencatat mata ketiga terbanyak dalam sejarah Liga Perdana.

Dengan kemenangan di pantai selatan England malam esok, City akan berakhir dengan 98 mata, kurang dua mata daripada rekod musim lalu, namun ia kelihatan lebih mengagumkan memandangkan mereka ketinggalan tujuh mata Januari lalu dan enggan mengalah dengan catatan 13 kemenangan liga berturut-turut ketika menuju garisan penamat.


GUARDIOLA sedar Manchester City perlu menang ke atas Brighton. — FOTO AFP

“Ia satu keistimewaan,” kata Guardiola pada sidang media di Brighton, awal pagi tadi. “Ia satu impian untuk berada di sini, secara jujurnya tidak menjangkakan perkara ini beberapa bulan lalu apabila kami ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool.

“Kami berpeluang untuk muncul juara sekali lagi jika kami menang perlawanan ini dan itulah yang perlu kami lakukan.”

Tahap pencapaian mengekang asakan Reds kendalian Juergen Klopp terserlah apabila Guardiola menyaksikan bekas kelabnya Barcelona tumbang 0-4 di Anfield awal pagi Rabu lalu ketika Liverpool layak ke final Liga Juara-Juara kali kedua berturut-turut.

City boleh melakar sejarah muncul pasukan pertama memenangi tiga kejuaraan Inggeris semusim selagi mereka menyamai keputusan perlawanan Liverpool di laman sendiri menentang Wolves malam esok dan mengalahkan Watford pada final Piala FA, Sabtu depan.


SERGIO Aguero pernah jadi wira City pada hari terakhir liga. — FOTO Reuters

Namun di sebalik semua pencapaian mereka setakat ini, Guardiola percaya City perlu melaksanakan tugas jika mereka mahu mengelak “dimusnahkan” oleh pengkritik mereka.

“Anda lihat dalam Liga Juara-Juara. (Barcelona dan Ajax) kalah sekali tapi setiap orang mengkritik pasukan, pengurus dan kelab,” ujar Guardiola.

“Melakukan sesuatu yang mustahil, bertindak baik, kami sedar di dunia mana kami tinggal dan anda perlu menang.”

City meledak 157 gol dalam semua pertandingan musim ini namun mereka bergelut sejak beberapa minggu lalu apabila menang tiga daripada empat perlawanan terakhir 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 10:37 AM