JONATHAN layak ke Olimpik di Rio tiga tahun lalu.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my

PERSATUAN Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) akan berusaha memastikan dua penembak negara, Jonathan Wong Guanjie dan Alia Sazana Azahari layak beraksi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

Ahli Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan, Datuk Musa Omar berkata, menerusi perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) ketika mesyuarat jawatan kuasa kerja (JKK) hari ini, NSAM bersetuju memberi keutamaan kepada dua atlet berkenaan.

Antara kejohanan akan disertai mereka adalah kejohanan Piala Dunia di Munich, Jerman dari 24 hingga 31 Mei ini, Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta 16 hingga 26 Ogos selain Kejohanan Menembak Asia di Doha 3-11 November.

Katanya, kedua-dua atlet yang beraksi dalam acara pistol dan air pistol itu mempunyai peluang berdasarkan sistem kuota.

"Peluang untuk layak seperti Jonathan itu ada kerana dalam sistem kelayakan sukan menembak ia akan dikira mengikut kuota.

“Jika pemenang nombor satu, dua dan tiga sudah layak, maka penembak yang menduduki tempat keempat turut layak. Jadi peluang untuk mereka itu masih terbuka," katanya.

Jonathan menjadi penembak tunggal negara yang layak ke Olimpik di Rio tiga tahun lalu. Manakala Alia antara penyumbang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dalam acara 25m pistol.

Musa memaklumkan tarikh akhir buat atlet menembak melayakkan diri ke Olimpik adalah pada Februari tahun depan.

Mengulas mengenai sasaran di Sukan SEA Filipina, Musa berkata NSAM meletakkan sasaran dua emas.

"NSAM sasar dua emas dan secara peribadi saya sasar tiga dan jika dapat tiga itu bonus. Antara acara yang menjadi sasaran adalah air pistol, trap dan air rifle 10m campuran," katanya.

Sebanyak 14 acara dipertandingkan di Sukan SEA Filipina yang mana penembak negara hanya beraksi dalam 10 acara dengan NSAM memilih untuk tidak menyertai acara metallic silhouette air rifle, metallic silhouette air pistol, benchrest air rifle (heavy varmit) dan benchrest air rifle (light varmint).

Dua tahun lalu di KL2017, skuad menembak menyumbangkan empat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:04 PM