FEDERER membalas pukulan Monfils pada pusingan ketiga Terbuka Madrid, semalam. — FOTO EPA
AFP

ROGER Federer menyelamatkan dua mata penamat sebelum mengalahkan Gael Monfils dan layak ke suku akhir Terbuka Madrid semalam namun pemain nombor satu wanita dunia dan pilihan utama Naomi Osaka tersungkur.

Federer, bermain hanya perlawanan keduanya di gelanggang tanah liat tahun ini selepas tiga tahun menyepi, memerlukan dua jam untuk menundukkan pemain Perancis, Monfils 6-0, 4-6, 7-6 (7/3).

Naomi tumbang buat kali kedua dalam tempoh dua bulan di tangan rakan senegara Federer dari Switzerland, Belinda Bencic apabila kalah 6-3, 2-6, 5-7. Belinda turut mengalahkan pemenang dua gelaran Grand Slam itu pada Mac lalu di Indian Wells.

Pilihan kedua dari Czech, Petra Kvitova, juara bertahan turut mengalami kejutan apabila tumpas 2-6, 3-6 di tangan Kiki Bertens, pilihan ketujuh dari Belanda yang muncul naib juara pada 2018.

NAOMI kecewa tewas di tangan Belinda pada suku akhir. — FOTO Reuters

Pilihan utama kategori lelaki, Novak Djokovic bagaimanapun mudah ke suku akhir apabila membenam Jeremy Chardy 6-1, 7-6 (7/2) manakala juara lima kali Rafael Nadal menyingkirkan Frances Tiafoe 6-3, 6-4.

Nadal akan berdepan Stanislas Wawrinka selepas pemain Switzerland itu melengkapkan hatrik negaranya dengan menundukkan pilihan ketujuh dari Jepun, Kei Nishikori 6-3, 7-6 (7/3).

Federer mengakui dia bergelut untuk mengatasi Monfils, pilihan ke-15, sebelum merakam kemenangan ke-1,200 kariernya.

“Saya mengalami kesukaran apabila kalah lima game lewat set kedua dan awal set ketiga,” kata juara Grand Slam 20 kali itu yang akan berdepan pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem bagi memburu tempat ke separuh akhir.

“Ia saat yang amat menggusarkan. Kini saya berjaya melepasinya, saya amat teruja dengan kemenangan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:36 PM