PASUKAN kendalian Guardiola mantap dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana. — FOTO AFP
AFP

PERTARUNGAN mengagumkan Manchester City dan Liverpool bagi perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris akan menuju kemuncaknya Ahad ini apabila City berkunjung ke Brighton manakala Wolves bertandang ke Anfield.

Juara bertahan City memiliki kelebihan ketika mereka mendahului satu mata dengan menyedari mereka hanya perlu menyamai keputusan Liverpool untuk muncul pasukan pertama dalam tempoh sedekad mempertahankan kejuaraan.

Liverpool tidak menjulang trofi liga sejak 1990, namun mungkin tidak boleh melakukan lebih lagi untuk akhirnya menamatkan penantian itu selepas mencatat rekod kelab 94 mata dengan baki satu perlawanan.

Menakjubnya Reds mungkin boleh melakar catatan mata ketiga terbanyak dalam Liga Perdana dengan kemenangan ke atas Wolves tetapi masih gagal bergelar juara.


PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp bertindak cemerlang dalam Liga Juara-Juara dan Liga Perdana musim ini. — FOTO Reuters

“Kedua-dua pasukan berhak dengan kejuaraan ini. Tapi hanya satu pasukan boleh menang. Pasukan yang kalah tidak perlu menyesal kerana mereka sudah memberikan segala-galanya,” kata bos City, Pep Guardiola.

Secara statistik ia adalah perebutan paling hebat sepanjang zaman dalam sejarah Liga Perdana.

Agak jarang sekali kejuaraan dimenangi pada hari terakhir, lebih jarang untuk melakukannya pada minit terakhir masa kecederaan perlawanan terakhir.

Jika City memastikan kejuaraan Ahad ini, ia adalah kejuaraan keempat kelab itu dalam tempoh lapan tahun, catatan yang dimulakan oleh gol kemenangan dramatik Sergio Aguero ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 1-2 pada masa kecederaan sebelum mengalahkan Queens Park Rangers 3-2 sekali gus menafikan Manchester United kejuaraan menerusi perbezaan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 11:25 AM