AUBAMEYANG (dua kanan) meraikan kemenangan Arsenal pada separuh akhir Liga Europa di Valencia, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

ARSENAL akan berdepan Chelsea pada final Liga Europa selepas hatrik Pierre-Emerick Aubameyang menamatkan harapan Valencia melakar satu lagi kebangkitan dramatik, awal pagi tadi.

Ketinggalan 1-3 selepas separuh akhir pertama, Valencia bermula sempurna di Mestalla apabila Kevin Gameiro membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 namun gol daripada Aubameyang (m-17) dan Alexandre Lacazette (m-50) menyebabkan tuan rumah memerlukan empat gol dalam 40 minit.

Gameiro meledak gol sekali lagi (m-58), mencetus harapan kebangkitan untuk menyamai usaha Liverpool dan Tottenham minggu ini, sebelum Aubameyang menyumbat gol keduanya (m-69) dan kemudian melengkapkan hatrik menakjubkan (m-88) bagi memastikan kemenangan 4-2 dan 7-3 secara agregat.

Perlawanan akhir di Baku pada 29 Mei ini menjadi pertembungan musuh setempat London dan buat kali pertama dalam sejarah, empat kelab Inggeris bertanding bagi final Liga Juara-Juara dan Liga Europa, dengan Liverpool dan Spurs bertemu di Madrid tiga hari kemudian.


AUBAMEYANG melengkapkan hatrik dua minit sebelum tamat. — FOTO Reuters

Ia juga menghidupkan peluang Arsenal meraih tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan dan secara realistiknya peluang terakhir mereka, memandangkan mereka mesti meraih tiga mata dan menang dengan perbezaan lapan gol untuk mengatasi Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

“Kami tidak dapat layak ke Liga Juara-Juara menerusi liga, tapi ini satu lagi jalan,” kata jurulatih Arsenal, Unai Emery.

“Objektif kami jelas untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara tapi juga mahu memenangi satu trofi. Ia tidak mudah.”

Valencia juga bergantung harap kepada Liga Europa untuk layak ke Liga Juara-Juara, memandangkan mereka ketinggalan tiga mata di belakang Getafe, yang berdepan Barcelona Ahad ini, dengan baki dua perlawanan La Liga.


GAMEIRO (kanan) mengatasi penjaga gol Arsenal, Petr Cech. — FOTO AFP

Arsenal, biasanya rapuh beraksi di gelanggang lawan, menangani lawan mereka dengan mudah ketika Aubameyang dan Lacazette, yang mengumpul 48 gol antara mereka musim ini, membuktikan mereka penyerang kelas pertama dalam pertandingan kelas kedua itu.

“Auba terlalu mengagumkan malam ini,” kata Lacazette kepada BT Sport.

Buat kali pertama sejak 2013 dan kali kedua dalam tempoh 10 tahun, tiada kelab Sepanyol layak ke final pertandingan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:02 AM