AKSI Tengku Ahmad Tajuddin (tengah) ketika menentang Kanada pada final Pusingan Akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

BAKAL beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik untuk kali keempat berturut-turut, penyerang skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil sedar cabaran dihadapi skuad negara pada kempen kelayakan lebih sukar.

Pemain veteran itu berkata, skuad negara tidak boleh mempamerkan prestasi statik seperti ketika Pusingan Akhir Siri FIH minggu lalu yang mungkin menyebabkan Malaysia sekali lagi kempunan beraksi di pentas Olimpik.

"Saya cuma berharap setiap pemain mengambil iktibar daripada Pusingan Akhir Siri FIH. Bagi saya kami bermain secara baik tetapi tidak konsisten. Apa yang kami perlukan ketika ini adalah aksi konsisten sepanjang perlawanan," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, skuad negara juga perlu memperbaiki jumlah jaringan yang kurang memuaskan pada Pusingan Akhir Siri FIH.

"Untuk bermain di tahap tertinggi, jumlah jaringan perlu dipertingkatkan. Kami banyak memperoleh peluang menjaringkan gol tetapi ia tidak disudahkan dengan baik," katanya.

Skuad negara layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada November depan selepas muncul dua pasukan terbaik di Pusingan Akhir Siri FIH yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu. Lawan yang bakal ditemui skuad negara pada kempen kelayakan nanti bakal diketahui September depan menerusi undian yang akan dilakukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:48 PM