DHAARMA Raj (kiri) akui misi sukar Malaysian Tigress di Bandbridge.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

"KAMI tak hirau soal ranking." Demikian pandangan ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengenai cabaran anak buahnya pada kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Bandbridge, Jun depan.

Di atas kertas, peluang dilihat cukup tipis untuk skuad negara mara ke pentas final sekali gus menempah tiket ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun Dhaarma enggan ambil pusing semua halangan itu.

Malaysia tiada pilihan lain selain perlu beraksi di pentas final sekiranya mahu layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ireland selaku tuan rumah yang menduduki ranking ke-8, Republik Czech (19) dan Singapura (35).

"Barisan pemain di dalam skuad ini sudah lama bersama dan ada yang berasakan ia mungkin misi terakhir. "Sebab ada beberapa pemain yang mungkin akan bersara selepas ini sekiranya kami tidak dapat melangkah ke kempen kelayakan.

"Jadi semua pemain sudah tidak ambil kisah mengenai siapa lawan akan ditemui dan kami juga berharap akan berlaku keajaiban," katanya.

Dhaarma berkata, pasukannya akan berlepas lebih awal ke Itali pada 23 Mei ini bagi menghadapi empat aksi persahabatan.

"Dua perlawanan bertemu Itali manakala dua lagi dengan Sepanyol. Selepas itu kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Scotland.

"Saya akan membawa 20 pemain untuk kali ini dengan semua pemain mempunyai potensi besar untuk diserap ke dalam 18 pemain terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:36 PM