SEPARUH akhir Liga Juara-Juara antara Ajax Amsterdam dan Tottenham Hotspur awal pagi tadi. FOTO Reuters
Reuters

JURULATIH Ajax Amsterdam Erik ten Hag menyifatkan penyingkiran mereka pada separuh akhir Liga Juara-Juara sebagai sesuatu yang ‘terlalu kejam’ selepas kelab Belanda itu dikecewakan jaringan Lucas Moura pada minit ke-96 buat Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

“Bola sepak boleh menjadi amat indah dan ia juga boleh menjadi terlalu kejam. Kami terpaksa menghadapinya hari ini,” kata Ten Hag, yang pasukan mudanya dilihat hampir menuju final untuk menentang Liverpool di Madrid, 1 Jun ini sehinggalah jaringan saat akhir Moura menghancurkan impian mereka.

Selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di London, Tottenham menempah tiket ke final hasil jaringan hatrik Moura yang melengkapkan kemenangan 3-2 awal pagi tadi.

Biarpun terikat dengan agregat 3-3, Spurs mara hasil kelebihan jaringan di tempat lawan.

Keputusan itu menamatkan perjuangan panjang Ajax bermula tiga pusingan kelayakan, bermula Julai lalu sehinggalah menyertai kelompok empat terakhir.

Sepanjang tempoh menakjubkan itu mereka berjaya mengecewakan Real Madrid dan Juventus malah terlalu hampir dengan tiket ke final sehinggalah menemui penamat mengecewaskan.

“Secara keseluruhannya kami menempuhi kempen Liga Juara-Juara yang menakjubkan, kami semakin hampir ke final dan kerana itu pasukan kami berhak mendapat pujian hebat, saya amat bangga dengan pemain saya,” kata Ten Hag.

Namun jurulatih itu mengakui mereka melepaskan peluang keemasan selepas mendahului 3-0 menerusi agregat dengan baki 54 minit perlawanan.

“Jika anda mendahului 2-0 anda perlu pastikan menang perlawanan ini, dan kami gagal melakukannya. Pada fasa pertama selepas separuh masa pertama, kami hilang cengkaman dalam perlawanan, lawan lebih bijak mengambil kesempatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 9:41 AM