VALVERDE sugul selepas pasukannya gagal mengatasi Liverpool pada separuh akhir, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

ERNESTO Valverde mengakui Barcelona perlu menyalahkan diri sendiri kerana kekalahan “dahsyat” di tangan Liverpool pada separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Barca disingkirkan pada malam menakjubkan di Anfield ketika Liverpool menang 4-0 sekali gus mengatasi defisit tiga gol pada aksi pertama.

Liverpool muncul pasukan ketiga dalam sejarah Piala Eropah untuk bangkit daripada defisit sebesar itu pada separuh akhir.

Bos Barca, Valverde mengakui pemainnya gagal menangani tekanan bertali arus Liverpool dan hilang tumpuan selepas Reds meldak dua gol pantas pada babak kedua untuk menyamakan agregat.


KAPTEN Barcelona, Lionel Messi (tengah) gagal kemudi pasukannya ke final Liga Juara-Juara. — FOTO AFP

“Segala-galanya tak menjadi selepas dua gol pantas itu. Kami tidak berupaya untuk meledak gol dan mereka benar-benar menekan kami,” katanya.

“Ia keputusan yang amat buruk buat peminat dan kami sendiri. Ia benar-benar sesuatu yang amat malang, tapi pujian harus diberikan kepada Liverpool.

“Mereka bermula dengan amat baik, memperoleh gol awal tapi reaksi kami selepas itu bagus. Kami berjaya mengawal situasi sedikit demi sedikit pada pertengahan babak pertama. Kami memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami cuba untuk bermain sedikit bertahan, tapi perlawanan berakhir buat kami apabila mereka meraih gol keempat. Kami langsung tak dapat membalas.”

Ia penyingkiran memalukan kedua berturut-turut buat Barca dalam Liga Juara-Juara selepas mereka mensia-siakan kelebihan 4-1 pada suku akhir pertama musim lalu, tersingkir menerusi peraturan gol tempat lawan di tangan AS Roma selepas tewas 0-3 pada aksi kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:44 AM