Skuad hoki negara menunggu saingan playoff untuk ke Sukan Olimpik Tokyo. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


SKUAD hoki lelaki negara dijangka akan dapat mengetahui lawan yang bakal ditemui pada aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada September depan selepas berakhir kesemua kejohanan benua.

Namun yang pasti, Malaysian Tigers bakal bertemu lawan yang menduduki ranking lebih tinggi sekali gus perlu beraksi di tempat lawan dengan format perlawanan dilangsungkan secara timbal balik.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sebanyak 14 pasukan akan beraksi pada kempen kelayakan itu dengan tujuh daripadanya bakal layak ke Sukan Olimpik selepas memenangi perlawanan play off masing-masing.

"Menerusi undian akan dilangsungkan kelak, 14 pasukan itu akan dibahagikan kepada empat balang.

"Balang pertama dan kedua adalah pasukan menduduki ranking lebih baik. Malaysia akan diletakkan di balang ketiga yang akan bertemu pasukan dari balang kedua.

"Empat pasukan dari balang dua dijangka akan ditemui oleh skuad negara adalah Britain, New Zealand, Sepanyol dan Kanada.

"Sudah tentu kami berharap pasukan negara dapat bertemu lawan seperti Kanada sekali gus mempunyai peluang lebih cerah layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Subahan bagaimanapun berkata, persiapan rapi akan dilakukan untuk skuad negara termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Eropah dan Jepun.

Malaysia layak beraksi di kempen kelayakan Sukan Olimpik yang dijangka berlangsung November depan selepas muncul dua pasukan terbaik pada Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur yang berakhir Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 2:09 PM