SUAREZ (kanan) bersama Lionel Messi (kiri) dan Gerard Pique menjalani latihan di Anfield, semalam. — FOTO EPA
AFP

PENYERANG Barcelona, Luis Suarez kembali ke Anfield awal pagi esok dengan harapan menyingkirkan Liverpool daripada separuh akhir Liga Juara-Juara, namun tetap berterima kasih kepada Reds yang membantunya berpindah ke kelab gergasi Catalan itu.

Suarez menyerlah ketika tiga tahun di Liverpool, yang menyaksikannya digantung lama kerana menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic dan menghina pemain Manchester United, Partice Evra secara perkauman.

Peranannya mengemudi Liverpool berada di ambang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2013-14 menyaksikan Barca memecah rekod pembelian kelab ketika itu di sebalik satu lagi insiden menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia 2014 menyaksikannya digantung empat bulan oleh FIFA.

Keyakinan itu berbaloi apabila Suarez menikmati kejayaan hebat di Sepanyol, memenangi empat kejuaraan La Liga, Liga Juara-Juara pada 2014-15 dan empat Piala Sepanyol.

SUAREZ (kiri) melayan soalan wartawan di Anfield, semalam. — FOTO AFP

Tidak hairan dia percaya masanya di Liverpool menjadi pemangkin menjadikannya seorang daripada penyerang terbaik dunia.

“Liverpool banyak membantu menjadikan saya lebih bagus. Masa saya di sana menjadikan saya lebih profesional, meningkatkan saya secara teknikal, banyak perkara,” katanya semalam.

“Untuk menjadi kapten Liverpool sesuatu yang unik dalam karier saya. Kami berjuang untuk merebut Liga Perdana dan anda hanya satu langkah untuk merealisasikannya.

“Saya berada dalam kalangan pemain elit, saya di Barcelona, terima kasih kepada Liverpool yang membentuk saya sebagai pemain.”

Suarez menjaringkan gol pembukaan menentang bekas kelabnya ketika Barca menang 3-0 pada separuh akhir pertama di Nou Camp minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:11 AM