REMBATAN jarak jauh Kompany (kanan) gagal diselamatkan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel. — FOTO Reuters
AFP

KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany mendedahkan dia menunaikan satu ikrar untuk menjaringkan gol jarak jauh “satu hari nanti” selepas jaringan mengagumkannya memastikan kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Leicester sekali gus mencerahkan peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City kelihatan menuju penamat mengecewakan di Stadium Etihad awal pagi tadi hinggalah Kompany merembat kencang dari jarak 22 meter 20 minit sebelum tamat – gol pertama pertahanan tengah City itu dari luar kotak penalti.

Kemenangan itu menyaksikan City kembali merampas tangga teratas daripada Liverpool menjelang aksi terakhir liga Ahad ini.

“Saya tidak menjaringkan gol musim ini tapi saya sering kali berasakan saat genting yang mana saya akan melakukan sesuatu,” kata Kompany kepada Sky Sports.


KOMPANY (kiri) bersama tiga anaknya melakukan perarakan penghormatan pada aksi terakhir City di Etihad musim ini. — FOTO Reuters

“Hari ini agak mengecewakan, setiap orang menyatakan ‘jangan rembat, jangan rembat’ dan saya boleh mendengarnya; saya terfikir seketika, tidak pernah setakat ini dalam karier saya pemain muda memberitahu jika saya boleh melakukan rembatan tapi saya tetap mencuba!”

Pemain Belgium itu kali terakhir meledak dari luar kotak penalti pada 2007 namun Kompany menegaskan: “Saya menjaringkan banyak gol sebegitu dalam latihan!

“Sudah 15 tahun saya beraksi di peringkat tertinggi, pemain tengah memberitahu saya ‘jangan rembat, umpan semula bola itu’ dan setiap kali mereka terlepas, selama 15 tahun saya menyatakan ‘saya janji kepada anda, satu hari nanti saya akan melakukan rembatan dari luar kotak penalti dan saya akan menjaringkan gol yang pasti akan menggembirakan anda’.”

Pengurus City, Pep Guardiola mengakui beliau juga antara yang tidak mahu Kompany melakukan percubaan dari jarak jauh.

“Jangan rembat! Umpan bola itu, hantar semula bola itu!,” kata Guardiola apabila ditanya mengenai pendapatnya ketika Kompany mahu melakukan percubaan.

“Secara jujur, saya juga kurang yakin tapi bola sepak memang gila. Pemain adalah artis, mereka memutuskan sesuatu dalam sedetik dan apa yang penting bukannya gol, tapi dia melakukan rembatan ketika percaya dia boleh menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:09 AM