PENYERANG City, Sergio Aguero meraikan gol menentang Liverpool, Januari lalu. — FOTO Agensi
AFP

PEP Guardiola menganggap kejayaan meneruskan saingan dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris muim ini adalah pencapaian yang paling memuaskan hatinya sebagai pengurus.

Bos Manchester City itu berkata, liga utama Inggeris adalah pertandingan domestik paling sukar pernah diharunginya dalam tempoh 10 tahun karier kejurulatihan yang menyaksikannya mengumpul 25 trofi.

City menang 12 perlawanan Liga Perdana berturut-turut dan berbaki dua perlawanan untuk mengakhiri musim ini dua mata kurang berbanding rekod 100 mata musim lalu, namun mereka dicabar sengit Liverpool, yang mempamer standard luar biasa.

Pasukan kendalian Juergen Klopp hanya kalah sekali dalam liga sepanjang musim, di tangan City Januari lalu dan merakam kemenangan kelapan berturut-turut Sabtu lalu, mengalahkan Newcastle 3-2 untuk kembali ke puncak carta liga.

GUARDIOLA miliki sentuhan emas di mana saja beliau bertugas. — FOTO Agensi

City beraksi kurang satu perlawanan, menentang Leicester di laman sendiri awal pagi esok, namun dijangka menang kedua-duanya dengan perlawanan terakhir liga di Brighton Ahad ini untuk mempertahankan kejuaraan.

“Ya, ia liga paling sukar pernah saya harungi sebagai pengurus, kerana kualiti pencabar anda,” kata Guardiola, bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich.

“Tidak diragui. Itulah sebabnya berada di sana amat menakjubkan. Tapi sudah tentu, hanya satu pasukan menerima hadiah itu dan satu lagi pasukan bersedih.”

Guardiola teruja pemainnya mengekalkan tahap mereka selepas memecah rekod mata terbanyak musim lalu, dengan kelab itu hanya dipisahkan tiga perlawanan bagi melengkapkan tiga trofi domestik Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

“Apabila anda dapat 100 mata, setiap orang berasakan kami tidak akan melakukan apa yang perlu kami lakukan (musim berikutnya), kami akan bertindak lebih kurang kerana kami menang, tapi ia jelas bertentangan,” ujar pengurus berbangsa Catalan itu.

“Hadir pada peringkat ini, baki dua perlawanan dengan 92 mata, selepas 100 mata musim lalu, bersaing di sana, ia paling memuaskan hati saya sebagai pengurus.

“Sejujurnya ia tidak mudah. Mereka melakukannya sekali lagi. Kini, kami cuba menang menentang Leicester dan hadir pada perlawanan terakhir liga di Brighton dengan peluang untuk menjadi juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:40 PM