LOFTUS-CHEEK (kanan) menanduk masuk gol pertama Chelsea di Stamford Bridge. — FOTO Reuters
Reuters

JURULATIH Chelsea, Maurizio Sarri mendedahkan pemainnya tertekan kerana aksi Liga Europa selepas mereka bergelut menentang Watford malam tadi sebelum menang 3-0 sekali gus memastikan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Chelsea, yang meraih tempat ke Liga Juara-Juara selepas Arsenal seri dengan Brighton awal pagi tadi, terikat 1-1 dengan Eintracht Frankfurt pada separuh akhir pertama Khamis lalu, menyebabkan mereka kesuntukan masa bersiap sedia menentang Watford.

“Saya fikir babak pertama kami bermasalah kerana kami letih secara fizikal dan mental. Kemudian pada babak kedua mereka mengendurkan tekanan jadi kami berpeluang menguasai perlawanan,” kata Sarri sebelum kedudukan penamat empat teratas disahkan.

“Sudah tentu kami bertuah kerana menjaringkan gol selepas dua minit dan selepas gol pertama mungkin kami meningkat secara mental dan mampu bermain baik selama 30, 35 minit.”


HIGUAIN (kanan) mengatasi penjaga gol Watford, Ben Foster bagi gol ketiga Chelsea. — FOTO AFP

Chelsea diejek penyokong sendiri ketika rehat dengan Watford mendominasi separuh masa pertama.

Namun gol daripada Ruben Loftus-Cheek (m-48) dan David Luiz (m-51), kedua-duanya dicipta Eden Hazard, disusuli dengan jaringan penyerang Argentina, Gonzalo Higuain pada minit ke-75.

“Tidak mudah beraksi selepas 60 jam,” kata Sarri merujuk kepada kunjungan Liga Europa ke Jerman pada pertengahan minggu lalu.

Kemenangan malam tadi, dibantu keputusan seri 1-1 Arsenal di Emirates dan Manchester United di pasukan yang sudah tersingkir Huddersfield Town, menyaksikan Chelsea kembali ke Liga Juara-Juara selepas beraksi pertandingan kelas kedua Eropah, Liga Europa musim ini.

Mereka melonjak ke tangga ketiga satu mata di depan musuh setempat Spurs dan menjarakkan kelebihan mereka kepada empat mata di depan pasukan tangga kelima Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:09 AM