AKSI skuad Tambadau ketika menentang Selangor United di Stadium Likas. - FOTO Edmund Samunting
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my

PENGEDALI Sabah, Jelius Ating menganggap kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor United dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas semalam, sudah cukup memadai.

Katanya, walaupun terlepas beberapa peluang baik untuk menambah jaringan, beliau tetap berpuas hati kerana berjaya memenangi perlawanan itu.

"Memang kami memiliki beberapa peluang baik tetapi bagi saya apa yang penting adalah mengutip tiga mata, tidak kisahlah berapa gol pun.

"Perlawanan malam ini (semalam) juga bukanlah mudah, Selangor United memberi saingan sangat sengit namun saya bersyukur memenanginya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Pada aksi semalam, gol tunggal penyerang import, Rodoljub Paunovic pada minit keenam sudah cukup memastikan kemenangan Sabah seterusnya merampas semula kedudukan kedua liga daripada UiTM FC.

Jelius berkata, skuad Tambadau perlu terus fokus untuk aksi akan datang, sekali gus mengumpul seberapa banyak mata yang boleh di pusingan kedua liga.

"Kedudukan kami ketika ini masih belum selesa dan jika tersilap langkah pasukan lain masih mampu memintas.

"Kami perlu terus bekerja keras untuk memenangi perlawanan seterusnya mencapai sasaran utama musim ini iaitu layak beraksi di Liga Super musim depan," katanya.

Sabah akan meneruskan saingan liga mereka dengan dua aksi di gelanggang lawan iaitu bertemu UKM FC pada 17 Mei dan Pulau Pinang pada 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 2:08 PM