ELLIOTT berusia 16 tahun 30 hari ketika beraksi menentang Wolves.
Agensi

HARVEY Elliott menjadi pemain termuda beraksi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan catatan umur 16 tahun 30 hari ketika masuk sebagai pemain gantian Fulham ketika tewas 0-1 kepada Wolves, semalam.

Elliott yang beraksi di bahagian tengah lahir pada 4 April 2003 menggantikan Andre-Frank Zambo Anguissa dua minit sebelum tamat perlawanan sekali gus mengatasi rekod seorang lagi pemain Fulham, Matthew Briggs yang berusia 16 tahun 65 hari ketika tewas 1-3 di Middlesbrough pada Mei 2007.

Pengendali sementara Fulham, Scott Parker meletakkan Elliott dalam senarai simpanan ketika menewaskan Everton dan Bournemouth dan dia berkata sebelum ini, sedia menurunkan pemain itu dalam aksi Liga Perdana.

"Jika saya berasakan sudah tiba masa kami perlukan khidmatnya, saya tidak teragak-agak memberinya peluang beraksi," kata Parker selepas Fulham menang 1-0 ke atas Cardiff pada 27 April lalu iaitu kemenangan ketiga berturut-turut kelab itu.

"Tetapi kami menurunkan Harvey bukan kerana sentimental tetapi kerana dia memang berhak mempamerkan kualitinya dan memberikan sesuatu yang kami tidak ada pada saat diperlukan.”

Elliott menjadi pemain gantian dalam aksi Piala Carabao ketika Fulham menewaskan Milwall pada September lalu dan menjadi pemain termuda kelab itu pernah beraksi pada usia 15 tahun.

Pemain muda Manchester United, Angel Gomes muncul pemain pertama lahir abad ini beraksi dalam Liga Perdana ketika menentang Crystal Palace pada 21 Mei 2017. Pemain tengah menyerang itu lahir pada 31 Ogos 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 12:26 PM