AKSI McIlroy cuba melakukan birdie di Quail Hollow Club, awal pagi tadi. - FOTO AFP
Reuters

RORY McIlroy meraikan hari jadi ke-30 dengan mencatat tiga di bawah par 68 pada pusingan ketiga Kejohanan Wells Fargo sekali gus hanya ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu dalam aksi berlangsung di Charlotte, North Carolina.

Bogey dilakukan Max Homa (70) menyebabkan dia berkonsi kedudukan pendahulu dengan 11 di bawah par 202 bersama rakan senegara, Jason Dufner (71) dan Joel Dahmen (70) manakala Pat Perez melakukan 66 dengan 10 di bawah par.

McIlroy sepatutnya boleh meraih keputusan lebih baik jika melakukan putting lebih cermat. Dia membenam empat birdie dan satu bogey untuk melonjak sembilan di bawah par dan disambut meriah dengan ucapan hari jadi penyokongnya dalam keadaan cuaca hujan.

Homa bekas juara kolej yang memburu gelaran Jelajah PGA pertama mendahului hampir sepanjang hari sehinggalah dia tersekat di par empat lubang ke-18.

Pemain England, Justin Rose (68) berada di kedudukan keenam dengan lapan di bawah par dan rakan senegara, Paul Casey (66) di tangga ketujuh, ketinggalan satu pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 12:02 PM