ROBBEN (kiri) dan Goretzka berkongsi kegembiraan selepas tamat perlawanan di Munich. - FOTO Agensi
AFP

BAYERN Munich makin hampir mengesahkan kejuaraan ketujuh berturut-turut Bundesliga selepas kesilapan penjaga gol Borussia Dortmund, Roman Buerki membolehkan Werder Bremen bangkit mengikat keputusan 2-2 awal pagi tadi sekali gus ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga itu.

Kesilapan Buerki dan jaringan Claudio Pizarro menjadi pelengkap hari indah buat Bayern selepas dua ‘otai’, Franck Ribery dan Arjen Robben yang mengalami kecederaan sebelum ini kembali beraksi dan membantu pasukan menewaskan kelab bawahan Hanover 3-1.

Dortmund yang mendahului Bayern dengan sembilan mata pada Disember lalu perlu mengatasi defisit empat mata itu dalam dua baki aksi musim ini.

Christian Pulisic meletakkan Dortmund menerusi percubaan solo pada minit keenam sebelum Paco Alcacer menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma menarik.

Ketika Dortmund menguasai 70 minit perlawanan, kesilapan Buerki membenarkan Bremen kembali menemui momentum apabila gagal menyekat rembatan lemah Kevin Moehwald dan bekas bintang Bayern, Pizarro menjaringkan gol penyamaan beberapa minit kemudian.

Di Munich, Robben dan Ribery yang bakal meninggalkan Bayern pada penghujung musim masuk sebagai pemain gantian untuk penampilan kali pertama tahun ini.

Ribery menjaringkan gol yang dianggap jaringan terakhirnya di Allianz Arena manakala Robben yang tidak beraksi sejak November lalu berkata kepada Sky, itu bukanlah aksi terakhirnya sebagai pemain Bayern.

"Saya selalu berkata, saya tak mahu kembali hanya untuk melambai penonton dan mengucapkan selamat tinggal. Ada dua aksi lagi dan final Piala Jerman, jadi tunggu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Hanover berjaya bertahan hampir setengan jam sehinggalah Robert Lewandowski meletakkan Bayern di hadapan menerusi tandukan jarak dekat sebelum gol kedua kedua menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Leon Goretzka.

Pelawat bangkit pada babak kedua menerusi penalti Jonathas selepas keputusan kontroversi reviu VAR mendapati bola terkena tangan Jerome Boateng dan Ribery memastikan kemenangan tuan rumah menerusi rembatan enam minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 9:20 AM