REAKSI Aspas selepas menjaringkan gol kedua Celta di Stadium Balaidos, Vigo. - FOTO AFP
Reuters

BARCELONA mengalami kekalahan pertama dalam aksi La Liga sejak November lalu apabila tewas 0-2 di Celta Vigo awal pagi tadi tetapi kecederaan dialami Ousmane Dembele meresahkan pasukannya menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield pada awal pagi Rabu ini.

Dembele yang masuk sebagai pemain gantian ketika menewaskan Liverpool 3-0 minggu lalu antara tonggak yang beraksi menentang Celta apabila jurulatih Ernesto Valverde merehatkan ramai pemain utama selepas Barca mengesahkan kejuaraan liga pada Sabtu lalu.

Kemenangan itu membolehkan Celta meraih 40 mata dan melonjak mereka di atas zon penyingkiran tetapi pasukan di tangga ke-19, Rayo Vallecano menjadi pasukan pertama tersingkir selepas dibelasah Levante dengan meraih 31 mata daripada 36 perlawanan.

Penyerang Uruguay, Maxi Gomez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-67 selepas menolak bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol simpanan Barca, Jasper Cillessen.

Kapten Celta, Iago Aspas memastikan kemenangan tuan rumah selepas menyempurnakan penalti selepas reviu VAR mendapati bola terkena tangan pemain Barca, Samuel Umtiti.

Barca yang tewas kali terakhir 3-4 kepada Real Betis hampir enam bulan lalu memiliki 83 mata dengan pasukan di tangga kedua Atletico, 74 mata selepas tewas 0-3 di Espanyol, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 8:06 AM