Kpah Sherman menjaringkan gol PKNS pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


PKNS FC harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempertahankan kelebihan selepas terikat 3-3 menentang Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Biarpun tiga kali mendahului pasukan pelawat, kelalaian benteng pertahanan tuan rumah berjaya dimanfaatkan sebaiknya jentera depan Perak yang terpaksa bangkit memburu gol penyamaan sebelum masing-masing berpuas hati dengan kutipan satu mata.

Malah menerusi keputusan itu, kedudukan skuad Semut Merah kendalian Datuk K Rajagobal tidak banyak berubah apabila kekal di pertengahan liga dengan 16 mata manakala anak buah Mehmet Durakovic sekadar mengumpul 14 mata untuk berada di kelompok lapan terbawah liga.

Dalam aksi itu, tuan rumah terlebih dulu menemui jaring apabila awang import Kpah Sherman berjaya meledak pada minit keempat sebelum Brendan Gan menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-12.

PKNS kembali mendahului hasil tandukan Nick Swirad di minit ke-41 namun ia bingkas dipadamkan oleh J Partiban sejurus aksi babak kedua bermula buat menenangkan seketika kem Perak.

Sherman sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisanya apabila meledak gol ketiga sebelum pemain kebangsaan Nazirul Naim Che Hashim cemerlang menyempurnakan sepakan percuma di minit ke-80 buat kedua-dua pasukan terikat hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:24 PM