Dickson Nwakaeme terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


TIADA kelibat Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharudin apabila Pahang berdepan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Ia disahkan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang mengakui kehilangan dua pemain import itu berpunca kecederaan dialami mereka belum pulih.

"Kemungkinan besar kita akan turunkan kesebelasan utama yang beraksi ketika bertemu Terengganu FC (TFC), jadi itu pilihan kita ada buat masa ini.

"Jika dilihat kepada prestasi semasa mereka, saya ada keyakinan bahawa (barisan) pemain ini juga boleh mencipta kemenangan dalam aksi di sana nanti," katanya.

Pada pusingan pertama Liga Super yang berlangsung 7 April lalu, skuad Tok Gajah hanya mampu seri 1-1 dengan PJ City FC dalam aksi di Stadium Darul Makmur.

"Saya sudah maklumkan kepada pemain supaya melupakan kekalahan 2-1 di Terengganu dan perbaiki kelemahan yang masih ada.

"Kita pun boleh tengok prestasi (Mohamadou) Sumareh semakin baik dan kita harap dia boleh memainkan peranan penting dalam perlawanan malam esok," kata Dollah yang dijangka meletak sandaran kepada gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan pemain import, Jose Eduardo untuk merobek gawang PJ City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:38 PM