ZABALETA (kiri) bertembung dengan pemain Shrewsbury Town, Carlton Morris (tengah) pada pusingan ketiga Piala FA, Januari lalu. — FOTO Reuters
Reuters

PERTAHANAN West Ham, Pablo Zabaleta menggunakan klausa pilihan dalam kontraknya untuk kekal di Stadium London hingga 2020, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Zabaleta, 34, melakukan 65 penampilan buat West Ham sejak menyertai kelab itu secara perpindahan percuma dari Manchester City pada Julai 2017, termasuk 26 setakat ini musim ini.

Pertahanan kanan dari Argentina itu memainkan peranan penting dalam skuad kendalian Manuel Pellegrini malah menjadi kapten pasukan itu empat kali musim ini.

“Saya menikmati saat-saat di West Ham dan saya amat menghormati serta sukakan profesion ini,” kata Zabaleta dalam kenyataan kelab.


ZABALETA ketika beraksi bersama Manchester City. — FOTO Agensi

“Saya masih seronok dan ia membuatkan saya berasa mahu meneruskannya buat setahun lagi.

“Saya hanya mahu fokus terhadap apa yang kami lakukan buat kelab dan pasukan musim ini dan sedia untuk berjuang lagi musim depan, kerana saya hanya mahu menikmati setiap saat di sini.”

Zabaleta menang dua gelaran Liga Perdana, dua Piala Liga dan Piala FA ketika bersama City. Dia turut beraksi dengan San Lorenzo di Argentina dan Espanyol di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:31 AM