MESSI (kanan) menyumbat gol ketiga Barcelona menerusi sepakan percuma di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

LIONEL Messi memaksa Liverpool memerlukan keajaiban untuk layak ke final Liga Juara-Juara kali kedua berturut-turut apabila dua golnya membantu Barcelona menang 3-0 pada aksi mendebarkan separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Barca sudah sebelah kaki ke final bulan depan menjelang aksi kedua di Anfield Selasa ini selepas bekas penyerang Reds, Luis Suarez (minit ke-26) meletakkan Barca di depan ketika 45 minit pertama yang menghiburkan.

Messi kemudian meledak dua gol (minit ke-76 dan 82), jaringan kedua menerusi sepakan percuma mengagumkan sekali gus gol ke-600 buatnya bersama Barca.

Pengurus Reds, Juergen Klopp hanya mampu tersenyum selepas Messi melencongkan bola ke penjuru gol namun keputusan itu agak kejam buat pasukannya.

SUAREZ (kiri) meledak gol pertama Barca di Nou Camp. — FOTO AFP

Mereka berjaya menyaingi Barcelona pada babak pertama, mendominasi awal babak kedua dan patut menjaringkan gol di tempat lawan selepas dua gol pemusnah Messi, namun Mohamed Salah kecewa percubaannya terkena palang.

Ternyata Messi dan Suarez melakukan apa yang mereka buat sepanjang musim, gol mereka kini masing-masing 47 dan 27 dalam semua pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 7:18 AM