Ronaldo pemilik Bugatti paling mahal dalam sejarah permotoran. FOTO AP/Golders Bugatti
Agensi

CRISTIANO Ronaldo dilaporkan menjadi pembeli rahsia kereta Bugatti ‘lain dari lain’ berharga £10 juta (RM54j) dan paling mahal pernah dibuat dalam sejarah.

Superstar Juventus itu berada dalam kalangan pemilik koleksi kereta sport paling mewah dan mahal di dunia.

Minatnya kepada kereta jenama Bugatti bukan lagi rahsia selepas mengeluarkan belanja £2.15j (RM11.7j) membeli Bugatti Chiron tahun lalu.

Kereta itu berada dalam garaj miliknya bersama beberapa kereta lain seperti Aston Martin, Lamborghini dan Rolls Royce Phantom.

Pembelian mewah Ronaldo kali ini dianggap paling anggun berbanding yang lain.

Kereta Bugatti 'La Voiture Noire' itu diperkenalkan kepada penggemar kereta pada Geneva Motor Show.

Syarikat kereta mewah Perancis itu hanya membina sebuah kereta super prototaip pada ulangtahun penubuhan ke-110 syarikat itu.

Ia diberitahu hanya terdapat seorang pembeli dan syarikat itu enggan mendedahkan pembeli terbabit.

Menurut akhbar AS, rahsia itu akhirnya diketahui dan bekas bintang Real Madrid itu sebenarnya memang sudah tidak tahan terus menulis cek untuk mendapatkan kereta itu.

Ia tidak mengejutkan kerana dia menerima pendapatan mingguan sebanyak £500,000 (RM2.7j) seminggu atau RM10.8j sebulan bersama Juventus.

Bagaimanapun, dia masih perlu bersabar sebelum dapat menekan pedal kereta berprestasi tinggi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:22 PM