Mukhriz (tengah) memegang jersi selepas mengadakan perjumpaan bersama Takehara (kiri) dan disaksikan Torres. FOTO Ihsan KFA.
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) kini terus mengorak langkah dan bakal menjadi kelab pertama di Malaysia bekerjasama dengan kelab dari Jepun yang beraksi di J-League.

Ini adalah usaha berterusan KFA selepas menjalinkan kerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris - Kelab Bolasepak Cardiff City (CCFC) dan kelab Hyundai A-League, Perth Glory FC (PGFC) sebelum ini.

Menerusi laman rasmi KFA hari ini, Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengadakan perjumpaan bersama Pengarah J-League, Minoru Takehara yang juga merupakan pemilik kelab J-League iaitu Sagan Tosu dalam siri lawatan yang diadakan ke China dan Jepun.

Perjumpaan semalam di Tokyo adalah rentetan kunjung hormat Presiden KFA terhadap Duta Besar Jepun yang ketika itu turut membincangkan cadangan pembangunan bola sepak dengan Jepun untuk dimanfaatkan oleh pengurusan dan juga bakat muda bola sepak di Kedah.

Ia turut dihadiri bekas bintang Liverpool dan Sepanyol, Fernando Torres yang kini menyertai kelab Sagan Tosu.

Ia dilihat sebagai langkah awal memulakan kerjasama pembangunan bola sepak antara KFA dan kelab berkenaan selepas menerima reaksi positif oleh Takehara selain merancang mengadakan lawatan rasmi ke Kedah sebagai penghargaan persepakatan yang dicapai.

Menerusi program kerjasama dan pembangunan bola sepak KFA seramai 14 pemain dan seorang jurulatih berjaya mendapat manfaat selama sebulan dari setiap program latihan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 12:16 PM