BOTTAS (tengah) berjaya pintas Hamilton saat akhir dengan catatan 1.5 saat. -Foto EPA
AFP

VALTTERI Bottas berjaya menangkis cabaran saat akhir daripada rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton untuk memenangi Grand Prix Azerbaijan dan merampas kedudukan pendahulu dalam perebutan kejuaraan pemandu tahun ini.

Dalam perlumbaan yang menarik, sengit dan dramatik itu, pelumba Finland berkenaan mendahului Hamilton 1.5 saat, bagi membolehkan Mercedes mencatat kemenangan satu-dua buat kali keempat berturut-turut, sejak kejayaan Ferrari pada 1952.

Ini adalah kemenangan kedua musim ini buat Bottas dan kelima sepanjang kariernya, sekali gus menebus kesilapan tahun lalu apabila mendahului perlumbaan tetapi tayarnya pancit ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.

“Ya, ha!” kata Bottas.

“Tugas yang menakjubkan semua. Benar-benar kuat. Saya sungguh berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Kita semua memberikan persembahan yang benar-benar baik,” kata Bottas mengenai pasukannya Mercedes.

Kemenangan itu membolehkannya mendahului Hamilton dengan satu mata dalam saingan sengit selepas mencatat masa sepusingan terpantas di Australia.

Bottas mengumpul 87 mata, Hamilton 86 dan Vettel 52.

Kedua-dua pelumba Mercedes itu mendominasi perlumbaan mendahului Sebastian Vettel dari Ferrari, Max Verstappen di tangga keempat buat Red Bull dan pendatang baharu Ferrari Charles Leclerc, yang memulakan perlumbaan di petak kelapan dan mencatat masa terpantas selepas lewat melakukan hentian pit.

Sergio Perez menamatkan perlumbaan di tangga keenam buat Racing Point mendahului dua pelumba McLarens iaitu Carlos Sainz dan pendatang baharu dari Britain Lando Norris, Lance Stroll yang memandu Racing Point kedua dan Kimi Raikkonen, yang menduduki tangga ke-10 buat Alfa Romeo selepas bermula dari laluan pit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 10:38 PM