PEMAIN Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (dua kiri) cuba melepasi benteng pertahanan PKNP dalam saingan Liga Super menentang PKNP di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


PERAK akhirnya berjaya menunjukkan statusnya sebagai penyandang juara Piala Malaysia apabila mudah membenam pasukan ‘adik’ PKNP FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi.

Malah, jaringan itu mungkin lebih besar jika penyerang importnya, Gilmar da Silva berjaya menyudahkan tendangan penalti pada minit ke-86.

Jurulatih The Bos Gaurus (TBG), Mehmed Durakovic, gembira akhirnya pasukannya menunjukkan persembahan profesional dengan menguasai perlawanan bermula wisel permulaan sehingga penamat, walaupun menyedari PKNP adalah pasukan liat untuk ditumpaskan terutama dengan jaringan besar.

“Akhirnya kami ada peluang untuk menang, jika dalam tujuh atau lapan perlawanan sebelum ini banyak mencipta peluang tetapi bola tidak masuk ke dalam gawang, kali ini pemain berjaya menemui sasaran.

“Semua pemain bermain dengan baik, daripada penjaga gol hingga barisan penyerang,” katanya.

Ironinya, kemenangan itu hadir beberapa jam selepas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengumumkan akan mengambil seorang atau dua pemain import baharu apabila jendela perpindahan dibuka awal bulan depan, berikutan prestasi tidak memberangsangkan pasukan TBG.

Ditanya mengenai perkara itu, Durakovic berkata: “Saya gembira (dengan cadangan PAFA itu), buat masa ini saya gembira dengan pemain, mereka menjalankan tugasan dengan baik, itu sahaja yang saya boleh kata.”

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata kekalahan itu disebabkan banyak kelonggaran dan kesilapan mudah dilakukan pemain terutama di separuh masa pertama permainan, khususnya di bahagian tengah dan pertahanan.

“Kesilapan juga dilakukan ketika berhadapan hantaran lintang lawan dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

“Gerakan untuk mencipta peluang itu ada tetapi ketajaman dan penyudah tidak tepat dengan barisan pertahanan Perak berjaya melakukan ‘man to man marking’ sehingga menyukarkan barisan hadapan kami,” katanya.

Sehubungan itu, Abu Bakar akan melakukan rombakan terhadap keseluruhan pasukan itu bagi menghadapi lawan sama bagi perlawanan suku akhir pertama Piala FA pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:10 PM