HAFIZH Syahrin bersama jentera Red Bull KTM Tech 3. - Foto Redbull.com
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


“SAYA pun tak nak berada di kedudukan belakang. Malah semua pelumba juga tak mahu berada di belakang.

“Jika hendak duduk di belakang lebih baik duduk di rumah saja.”

Demikian luahan kali pertama pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang menerima kritikan hebat daripada penyokong dan netizen selepas menamatkan perlumbaan di kelompok belakang dalam tiga pusingan pertama sekaligus masih gagal memungut mata.

Pelumba yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech 3 itu berkata, ketika ini dia tiada pilihan lain selain hanya perlu menerima kritikan orang ramai.

“Sudah tentu saya ingin lakukan yang terbaik untuk keluarga serta penaja yang memberi peluang kepada saya beraksi di MotoGP.

“Kalau ada netizen yang kata saya tak boleh bawa (jentera KTM) dan berada di belakang, buat masa ini saya memang terima saja kritikan itu.

“Saya tahu kedudukan saya ketika ini di belakang tetapi saya masih bekerja keras dan terus menjalani latihan. Saya tak pernah berputus asa,” katanya ketika ditemui.

Hafizh yang muncul rookie kedua terbaik musim lalu berkata, dia kekal percaya KTM akan melakukan sesuatu dalam usaha pasukan untuk meraih keputusan lebih baik.

“KTM adalah ‘keluarga’ yang bagus dan sangat bersemangat dalam sukan permotoran.

“Cuma kekurangan ketika ini mereka baru tiga tahun berada di saingan MotoGP. Tapi saya percaya kami akan memperoleh keputusan lebih baik selepas ini,” katanya.

Hafizh akan beraksi pada Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:47 PM