Penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Fadzley Abdul Rahim cuba menyelamatkan percubaan pemain TFCII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.m

sukanteam@nstp.com.m

TERENGGANU FC II (TFC II) 'bermandi peluh' sebelum berjaya menundukkan Negeri Sembilan 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Sebaik wisel pertama ditiupkan, skuad TFC II bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan memulakan asakan awal untuk mencari jaringan ketika pemain skuad Hobin Jang Hobin belum bersedia.

Hasilnya berbekalkan lebih 300 penyokong setia, skuad The Turtles tidak menunggu lama apabila memperoleh jaringan pertama menerusi bekas penyerang Negeri Sembilan, Bruno Suzuki pada minit pertama perlawanan.

Jaringan itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol pelawat, Mohamad Fadzley Abdul Rahim yang membaling bola ke arah Suzuki sebelum pemain yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu rentak permainan kedua-dua pasukan tampak lebih seimbang dengan asakan bertali arus untuk memburu gol, namun ketumpulan jentera serangan menggagalkan usaha itu.

Seminit sebelum babak pertama tamat, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris bernasib baik apabila rembatan pemain pertahanan TFC II, Serhii Andrieiev ditepis penjaga gol sebelum bola singgah di palang gol sekali gus terselamat kubu pelawat.

Bersambung babak kedua, skuad pelawat banyak melakukan asakan untuk mencari jaringan penyamaan namun dihampakan kekebalan benteng pertahanan tuan rumah.

TFC II mempunyai tiga peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi ketumpulan penyudah kapten, Akanni Sunday Wasiu dan Suzuki mengecewakan kem TFC II.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:36 PM