Abdul Wahet (kiri) anggap Posa individu kurang sesuai kendali FAS. FOTO fail NSTP/Ihsan Abdul Wahet Uji
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


BEKAS Pengarah Kejurulatihan Sarawak, Abdul Wahet Uji mengingatkan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais supaya mencermin diri sendiri sebelum menyalahkan pihak lain terutama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dia yang pernah turut memikul tanggungjawab selaku pengurus dan Setiausaha Eksekutif FAS berkata, Posa adalah individu yang kurang sesuai mengendalikan badan induk negeri itu kerana banyak keputusan dilakukannya kembali meletakkan mutu bola sepak Sarawak di tahap merudum.

Paling ketara, soal pengurusan kewangan FAS yang menurutnya sehingga kini masih gagal dalam proses audit walaupun berulang kali diminta MFL terutamanya dalam soal pelesenan kelab.

"Bagi saya masalah sekarang (didenda kerana kelewatan dokumen) adalah berpunca daripada FAS sendiri kerana tahap pengurusan yang amat mengecewakan.

“Bayangkan, pihak MFL daripada dahulu iaitu sejak 2016 sentiasa mahu membantu Sarawak tetapi difahamkan laporan kewangan FAS sentiasa bermasalah untuk diaudit malah sehingga kini statusnya masih tergantung.

“Kini beliau memilih cara sebegini (konfrontasi) pula dengan MFL, saya rasa langkah ini boleh membunuh bola sepak Sarawak ketika bola sepak negeri ini perlu jadi keutamaan,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro, hari ini Posa mendedahkan pelbagai kelemahan di peringkat pengurusan MFL termasuk isu kecelaruan jadual liga, insuran pasukan, kegagalan penajaan bersama Telekom Malaysia (TM), hutang tuntutan perjalanan pengadil dan lain-lain.

Lantas, Presiden FAS itu mendesak agar Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam segera melepaskan jawatannya bagi digantikan dengan individu lebih berkelayakan.

Menurut Wahet, dia berharap masa depan skuad Ngap Sayop itu tetap cerah dan menggesa FAS memperbaiki pengurusan pasukan agar tidak membunuh bakat-bakat anak muda negeri berkenaan.

“Harap ada sinar di sebalik permasalahan ini kerana bola sepak Sarawak sekarang sudah kian tidak bermaya dan terkini dipalit isu-isu sebegini.

“Saya sebagai orang lama berharap pembaharuan mampu terjadi dan kepada Datuk Posa, saya cadangkan tumpukan sahaja kepada perniagaan jika tidak mampu uruskan dengan baik bola sepak Sarawak,” katanya.

Berita berkaitan:Mohon jaga 'nyawa' pasukan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 8:35 PM