Kain rentang memaksa Bibi Ramjani meletak jawatan. FOTO NSTP
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


"DATANG jumpa saya, tak perlu buat Kongres Luar Biasa (EGM) dan saya bersedia lepaskan jawatan Presiden.

Itu respon Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.

Beliau berkata, protes dilakukan segelintir penyokong dengan mengangkat kain rentang dan poster terhadapnya tidak langsung memulihkan keadaan pasukan yang kian kritikal ketika ini.

Katanya, sekiranya ada calon yang penyokong merasakan individu terbabit mampu mengambil alih KAFA dalam situasi seperti ini boleh datang bawa untuk berjumpa dengannya.

"Apa yang dilakukan tiga, empat orang yang menggantung kain rentang dan poster tidak membantu menjernihkan keadaan pasukan, malah saya rasa jika saya lepas jawatan ini, pengurusan pasukan akan lebih kucar kacir,” katanya.

"Cuba bayangkan jika saya lepas jawatan hari ini dan dalam masa sama empat pasukan (The Red Warriors, The President Warriors, The Young Warriors dan pasukan bola sepak wanita Kelantan) memerlukan seseorang menerajui KAFA dengan dana kewangan untuk bergerak dan tiada siapa mengganti tempat saya dalam masa terdekat, bukankah ia akan lebih kucar kacir?.

"Oleh itu, jika ada yang mahu ganti tempat saya, dia tak perlu desak Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk buat EGM kerana ia akan mengambil masa lama, sebaliknya terus datang berjumpa dengan saya sahaja. Saya bersedia lepaskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar semalam melaporkan penyokong Kelantan semakin hilang sabar memaksa beberapa individu dalam badan induk itu mengundur diri.

Bibi Ramjani turut mendedahkan wujud anasir 'negatif' yang cuba masuk disaat pasukan itu kini dalam keadaan kritikal.

Malah, Bibi Ramjani juga sedia membuka pintu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh badan induk termasuk pemain dan pegawai pasukan.

“Kita kena berusaha dengan cara yang betul,” katanya.

Berita berkaitan:Penyokong The Red Warriors dah tak tahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:19 PM