Choong Hann pertahan keputusan BAM. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mempertahankan keputusan badan induk itu untuk tidak memilih pemain profesional beraksi di saingan Piala Sudirman bermula 19 Mei depan.

Mengakui ia satu keputusan cukup sukar, Choong Hann bagaimanapun berkata ia demi kebaikan barisan pemain muda yang bernaung di bawah BAM.

"Memang ia keputusan yang sukar kerana tidak banyak tempat untuk ke kejohanan itu.

"Secara jujur kami bukanlah pasukan pencabar untuk edisi kali ini.

Sebab itulah kami mahu barisan pemain muda ini menimba pengalaman sebanyak mungkin.

"Sebenarnya bukan timba pengalaman saja tetapi kami mahu setiap pemain mengambil tanggungjawab," katanya.

Jelas Choong Hann, walaupun pasukan tidak diletakkan sebarang sasaran, namun ada sasaran tertentu ditetapkan untuk setiap pemain.

"Kami mahu mereka memenangi beberapa perlawanan tertentu. Jadi mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab cukup besar," katanya.

Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei menyaksikan tanggungjawab perseorangan lelaki diberikan kepada pemain muda pemain muda, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven.

Beregu lelaki pula digalas naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Nur Izzuddin Rumsani.

Perseorangan wanita diisi Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying, manakala beregu wanita pula disandarkan kepada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Beregu campuran pula dibarisi Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chen Tang Jie.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:52 PM