Sathia perlu penyerang untuk mantapkan serangan Selangor selepas skuadnya seri 1-1 di Alor Setar. FOTO NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


KETUA jurulatih Selangor, B Sathianathan kecewa Selangor gagal meraih tiga mata selepas seri 1-1 menentang Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

"Saya kecewa kami tidak dapat membawa pulang tiga mata malam tadi. Namun saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana beraksi dengan baik walaupun ada kesilapan kecil dan masih boleh dibaiki.

"Pemain gopoh di depan pintu gol dan selepas Sandro berjaya menghasilkan gol, kita mengharapkan gol daripada pemain tempatan kerana kami tidak memiliki penyerang dan kurang seorang pemain tengah.

"Kita ada banyak peluang di separuh masa pertama tapi jika kita tak ada penyerang tulen memang sedikit sukar.

Sathia mengakui bergantung kepada pemain import Rufino Segovia dan Endrick Dos Santos yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

"Saya meletakkan Sean Selvaraj menggantikan mereka dan saya berharap dia belajar daripada kesilapan.

"Syahmi ada tiga peluang mendapatkan gol tetapi kurang pengalaman.

"Saya yakin kalau Rufino ada, kita boleh kekal tiga teratas liga. Saya berbincang dengan pengurusan untuk mengambil seorang lagi penyerang.

Rufino hanya bersedia untuk beraksi bermula pada bulan Julai depan.

"Saya rela menunggu Rufino untuk aksi Piala Malaysia yang akan datang dia pemain penting.

"Dalam masa sama, Sandro Da Silva ceria dapat menjaringkan gol awal membantu Selangor dalam perlawanan pertamanya di Darul Aman.

"Saya membantu pasukan saya (Selangor) menghasilkan satu gol di stadium itu. Saya beraksi bersama Kedah selama empat musim dan sebagai pemain professional perlu melakukan terbaik untuk pasukan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:37 PM