Penyerang PSG Neymar. FOTO File Reuters.
Agensi

PENYERANG Paris St-Germain (PSG) Neymar digantung tiga perlawanan oleh UEFA selepas menghina pengadil perlawanan menerusi Instagram ketika kekalahan pasukannya kepada Manchester United dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Bintang Brazil itu menerusi media sosialnya menyatakan tindakan pengadil perlawanan Damir Skomina memberikan penalti lewat kepada United selepas menonton penolong pengadil video (VAR) adalah ‘memalukan’.

Neymar yang mengalami kecederaan ketika perlawanan, melihat aksi United mengubah defisit 2-0 pada perlawanan pertama.

Hukuman itu menyaksikan Neymar akan terlepas separuh musim untuk aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.

Neymar berkata penalti yang dijaringkan oleh Marcus Rashford, ‘tidak wujud’ dan pemain berusia 27 tahun kemudian menambah ‘Ia amat memalukan’.

“Apabila empat lelaki yang tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak melihat semula gerak perlahan di depan televisyen.

“Pengadil mendapati rakaman semula bola terkena tangan pemain pertahanan PSG, Presnel Kimpembe sebelum memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat dalam masa kecederaan.

Jaringan itu menyaksikan United mendahului dengan kemenangan 3-1 pada aksi perlawanan kedua 6 Mac lalu. Ia sekali gus membolehkan pasukan itu layak menerusi jaringan di tempat lawan.

“Apa yang boleh dilakukan dengan tangannya ketika menoleh ke belakang?” kata Neymar yang terlepas aksi berikutan kecederaan pada kaki.

Neymar kembali beraksi selepas tiga bulan berehat berikutan kecederaan yang dialami.

Dia tampil sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua ketika PSG meraih kemenangan menewaskan Monaco dalam saingan Ligue 1, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:22 PM