NORSYAFIQ (tengah) meraikan gol pertama dengan Tengku Ahmad Tajuddin menentang Brazil malam ini. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


SKUAD hoki negara menepati ramalan melakar kemenangan meyakinkan 6-0 ke atas Brazil pada perlawanan pertama Kumpulan B, Pusingan Akhir Siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Namun anak buah Roelant Oltmans dilihat lambat panas selepas hanya berjaya memecah kebuntuan pada separuh masa kedua.

Suku pertama menyaksikan skuad negara mempamer aksi berhati-hati dengan Fitri Saari hampir meletakkan Malaysian Tigers di depan pada minit ke-10 tetapi tolakannya terkena tiang gol kanan Brazil.

Tuan rumah memberi tekanan pada suku kedua dengan berjaya memperoleh dua pukulan sudut penalti namun kedua-duanya disia-siakan begitu saja.

AZRAI (kanan) mengelak halangan pemain Brazil. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bersambung separuh masa kedua, mereka akhirnya memperoleh gol pertama menerusi jaringan padang penyerang Nor Syafiq Sumantri pada minit ke-32 berpunca daripada gerakan Fitri dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil.

Persembahan skuad negara semakin meyakinkan apabila menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-38.

Suku keempat menyaksikan Fitri menambah gol ketiga pada minit ke-48 selepas berlaku situasi kucar-kacir dalam kawasan D lawan.

Meor Azuan Hassan mengukuhkan kedudukan dengan menyumbang gol keempat pada minit ke-53 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal menambah gol kelima seminit kemudian.

Razie Rahim menambah gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:05 PM