Pogba sering bercerita mahu ke Real Madrid. FOTO REUTERS
Agensi

PAUL Pogba kian hampir untuk meninggalkan Manchester United selepas ejennya, Mino Raiola 'membatalkan pertemuan dengan kelab terbabit berhubung perjanjian baru' untuk pemain tengah itu.

Pemain Perancis itu yang disenaraikan dalam Pasukan Tahunan PFA, begitu berpengaruh di bilik persalinan kelab itu tetapi sentiasa bercerita mengenai impian dan hasrat beraksi dalam La Liga bersama Real Madrid.

Keputusan dibuat Raiola untuk membatalkan pertemuan itu, menurut akhbar The Sun adalah untuk memastikan hasrat Pogba keluar daripada Old Trafford pada musim panas ini terjamin.

Pemain tengah berharga £89 juta (RM476j) itu memiliki personaliti disenangi di luar padang tetapi sentiasa bergelut membuktikan potensinya pada perlawanan besar terutamanya selepas mempamer aksi lesu ketika United tewas 2-0 di tempat sendiri kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Menurut laporan, pemain United 'bimbang Solskjaer tidak dapat mengawal ego Pogba' menyaksikan kekalahan kepada musuh sebandar adalah kekalahan ketujuh daripada sembilan perlawanan.

Pogba masih mempunyai kontrak selama dua tahun lagi bersama United dan kelab EPL itu merasakan mereka tidak berdepan tekanan menjualnya untuk mendapatkan pulangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:57 PM