NEYMAR kembali beraksi menentang Rennes.
AFP

KEHADIRAN semula Neymar dan Edinson Cavani mencerahkan peluang Paris Saint-Germain memburu kejuaraan Piala Perancis buat kelima berturut-turut apabila menentang Rennes di Stade de France pada awal pagi Ahad ini.

Bintang Brazil, Neymar beraksi kali pertama sejak 23 Januari lalu apabila masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menewaskan Monaco 3-1 yang mengesahkan kejuaraan Ligue 1 keenam buat PSG dalam tempoh tujuh tahun.

Cavani turut beraksi untuk tempoh 17 minit terakhir pada Ahad lalu sekali gus melengkapkan trio berbisa PSG yang mengganas dengan 78 gol musim ini selepas sebulan terpisah.

Jurulatih, Thomas Tuchel mengakui bimbang dengan prospek PSG apabila mereka terlepas peluang ketiga mengesahkan kejuraaan di Nantes minggu lalu tetapi pengendali dari Jerman itu tetap positif selepas bergelar juara.

"Objektif kami jelas, kami mahu menang berganda. Kami perlu menang pada final Sabtu ini (awal pagi Ahad),” kata Tuchel yang mengalu-alukan kepulangan Angel Di Maria selepas enam minggu tersisih.

Tetapi penjaga gol, Gianluigi Buffon menjangkakan cabaran sengit daripada Rennes yang menikmati musim terbaik mereka dengan mara ke saingan 16 terakhir Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:38 PM