JACKIE Wong melakar rekod baharu kebangsaan di Kejohanan Olahraga Asia (ATP) di Doha. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Misi atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong melakar rekod baharu kebangsaan di Kejohanan Olahraga Asia (ATP) di Doha tercapai, semalam.

Atlet kelahiran Sarawak itu melakukan balingan 67.01 meter (m) dalam acara akhir di Stadium Antarabangsa Khalifah untuk memadamkan rekod lama miliknya 66.01m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu.

Begitupun Jackie menamatkan saingan itu di kedudukan kelapan, namun kejayaan meleburkan rekod kebangsaan itu sesuatu yang amat menggembirakan.

“Terima kasih tuhan. Saya gembira dapat memperbaharui rekod kebangsaan milik saya sendiri dan impian saya di Doha tercapai,” katanya.

Seperti diramal pingat emas dalam acara itu dimenangi oleh pemenang emas temasya Olimpik dari Tajikistan, Dilshod Nazarov dengan catatan 76.14m, perak milik atlet Qatar, Asraf Amgad El-Seify 73.76m, sementara atlet Uzbekistan, Sukhrob Hodjayev meraih gangsa (72.85m).

Sementara itu, hasrat kontinjen negara membawa pulang pingat semakin pudar apabila dua jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam.

Hup Wei yang pernah menyumbangkan emas di Kejohanan Asia pada 2007 itu terlepas peluang meraih gangsa menerusi kiraan semula biarpun melepasi ketinggian 2.26m, ketinggian sama dengan pemenang di tempat ketiga, dari Jepun Tobe Naoto.

Nauraj yang melepasi ketinggian 2.23m terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam.

Emas acara lompat tinggi milik atlet Syria, Majdeddin Ghazal (2.31m), manakala atlet Jepun, Eto Takashi (2.29m) dan Tobe Naoto (2.26m) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:10 AM