JACKIE perbaharui rekod kebangsaan milik sendiri dengan 67.01m. — FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


MISI atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong melakar rekod baru kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha tercapai.

Atlet kelahiran Sarawak itu melakukan balingan 67.01 meter dalam acara akhir di Stadium Antarabangsa Khalifah untuk memadamkan rekod lama miliknya 66.01m yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Malaysia tahun lalu.

Begitupun Jackie menamatkan saingan itu di kedudukan kelapan, namun kejayaan melebur rekod kebangsaan itu sesuatu yang amat menggembirakan.

“Terima kasih Tuhan. Saya gembira dapat memperbaharui rekod kebangsaan milik saya sendiri dan impian saya di Doha ini tercapai,” katanya.


HUP Wei gagal raih gangsa selepas kiraan semula dengan atlet Jepun. — FOTO Yazit Razali

Seperti diramal pingat emas dalam acara itu dimenangi oleh pemenang emas temasya Olimpik dari Tajikistan, Dilshod Nazarov dengan catatan 76.14m, perak milik atlet Qatar, Asraf Amgad El-Seify 73.76m, sementara atlet Uzbekistan, Sukhrob Hodjayev meraih gangsa (72.85m).

Sementara itu hasrat kontinjen negara membawa pulang pingat berkubur apabila dua jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam.

Hup Wei yang pernah menyumbang emas Kejohanan Asia pada 2007 terlepas peluang meraih gangsa menerusi kiraan semula biarpun melepasi ketinggian 2.26m, ketinggian yang sama dengan pemenang tempat ketiga Naoto Tobe dari Jepun.

Manakala Nauraj yang melepasi ketinggian 2.23m terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam.

Emas acara lompat tinggi milik atlet Syria, Majdeddin Ghazal (2.31m) diikuti atlet Jepun, Eto Takashi (2.29m) dan Tobe (2.26m).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:00 PM