LIGA Super diurus oleh MFL sejak tiga tahun lalu. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan ‘mengundur’ ke belakang dengan menguruskan kembali Liga Malaysia (Liga M) kerana ia boleh meranapkan impian ke arah profesional sepenuhnya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan memaklumkan penswastaan Liga M dipersetujui semua ahli gabungan termasuk Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menubuhkan FMLLP (nama lama bagi MFL) pada 2015 sebagai badan penganjur Liga M yang dijalankan secara profesional sepenuhnya bermula 2016.

Katanya, penganjuran liga domestik secara profesional seiring dengan kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Sudah tentu dalam menuju ke arah profesionalisme bagi memastikan Liga M mencapai tahap yang ditetapkan oleh AFC, ada kalanya MFL (Liga Bolasepak Malaysia) perlu membuat beberapa keputusan tegas dan tidak popular dalam kalangan pasukan.


KEVIN (kiri) digesa letak jawatan, Yusoff enggan buat kerja lama. — FOTO Owee Ah Chun

“Bagaimanapun, apa yang dapat dilihat, keputusan yang dibuat oleh MFL boleh dikira konsisten sejak tahun lalu iaitu setiap pasukan dihukum masih diberi peluang untuk membuat rayuan.

“Jadinya, mana-mana pasukan terbabit perlu akur menerima hukuman yang sudah dijatuhkan tempoh hari,” katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengemukakan enam dalil menggesa Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam meletakkan jawatan.

Katanya, terdapat banyak ‘dalil’ yang menyebabkan rakan kongsi bersuara menuntut supaya Kevin segera meninggalkan MFL termasuk isu kecelaruan jadual perlawanan liga tempatan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis di Liga Perdana selain status insurans pasukan yang masih tergantung sehingga kini.

Selain itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu FAM kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan liga bola sepak professional di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:56 PM